Info Rumpai Laut
PENGENALAN
Kehidupan manusia pada amnya mempunyai pertalian rapat dengan aktiviti pertanian. Kehadiran sebarang tumbuhan yang boleh menjejaskan penghasilan pertanian akan dikategorikan sebagai rumpai. Di ekosistem daratan misalnya, rumput dan lalang mempunyai peranan dalam ekosistem. Namun disebabkan tumbuhan ini mampu mengurangkan basil pertanian manusia, maka tumbuhan ini ditakrifkan sebagai rumpai. Ini memandangkan rumput dan lalang bersaing dengan tanaman pertanian untuk ruang serta baja dan ini merencat pertumbuhan tanaman pertanian.
Di lautan terdapat satu flora yang turut dikategorikan sebagai rumpai oleh manusia. Flora ini ialah tumbuhan tak vaskular daripada kumpulan alga. Kehadirannya yang begitu banyak di pesisir pantai telah menyebabkan manusia menggolongkannya sebagai rumpai laut, walaupun tumbuhan ini tidak menjejaskan sebarang aktiviti pertanian. Ada kalanya rumpai laut ini dijumpai terapung-apung di permukaan laut sehingga kelihatan seperti pulau-pulau kecil.
Sekali imbas, tumbuhan ini tidak mempunyai sebarang fungsi. Malah kehadirannya menimbulkan masalah kepada manusia. Flora lautan ini akan dihanyutkan ombak dan berkumpul di pantai. Kehadirannya yang banyak di gigi air memburukkan pemandangan. Tumbuhan ini kemudiannya mereput dan meninggalkan kesan busuk di persekitaran.
Dilihat daripada masalah yang ditimbulkannya, maka tumbuhan ini sangat menepati pengertian rumpai yang diketahui umum.
Pengertian rumpai secara negatif timbul apabila sesuatu tumbuhan itu wujud dengan banyak dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan manusia sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jika diteliti secara lebih mendalam, rumpai ini bukan sahaja penting malah perlu untuk kemandirian sesuatu ekosistem. Bersama-sama komuniti fitoplankton, rumpai laut merupakan penghasil primer di ekosistem samudera. Rumpai laut membentuk hutan belantara di dasar laut. Melalui proses fotosintesis, tumbuhan ini membentuk asas kepada jaringan makanan.
Hidupan laut sangat bergantung secara langsung atau tidak langsung pada bahan organik yang dihasilkan oleh tumbuhan ini.
Persekitaran samudera dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan alga. Alga membentuk hampir 94% daripada keseluruhan spesies tumbuhan yang ditemui di laut. Tumbuhan tinggi, yang merupakan kumpulan yang dominan di ekosistem daratan, hanya membentuk 0.5% daripada keseluruhan spesies tumbuhan samudera. Tumbuhan ini
diwakili oleh lebih kurang 50 spesies tumbuhan monokot yang dikenali sebagai rumput laut.
Briofit dan pteridofit tidak mempunyai wakil di persekitaran samudera, Kulat dan liken pula diwakili oleh lebih kuran 500 spesies dan 15 spegsies masing-masing di persekitaran samudera.
Secara teknikal, rumpai laut boleh ditakrifkan sebagai alga samudera daripada divisi Chlorophyta, Phaeophyta dan Rhodophyta yang bersifat makroskopik. Jasadnya atau talus jelas dilihat dengan mata kasar. Pada amnya kita tidaklah perlu menggunakan mikroskop untuk mengecam flora ini sekurang-kurangnya kepada peringkat genus. Di persekitaran samudera, alga merah (Rhodophyta) mempunyai ahli yang terbesar, dianggar terdapat lebih kurang 2500 spesies alga merah.
Ini diikuti pula oleh alga perang (Phaeophyta) yang diwakili oleh lebih kurang 1000 spesies. Walaupun terdapat lebih daripada 7000 spesies alga hijau (Chlorophyta), namun sebahagian besarnya ditemui di persekitaran air tawar. Di laut hanya terdapat 900 spesies alga hijau.
Rumpai laut sangat pelbagai.
Flora ini melihat kerencaman bukan sahaja dari segi saiz dan bentuk malah dari segi warna. Satu perkara yang nyata ialah sebahagian besar rumpai laut bersifat melekap, mencengkam kuat pada substrat dengan bantuan organ pelekap. Tumbuhan ini boleh hidup di atas pelbagai substrat seperti pasir. lumpur. batu. serpihan batu karang atau kerikil. Kadangkala rumpai laut boleh hidup secara epifit pada tumbuhan vaskular atau rumpai laut lain. Ada juga yang menggunakan tubuh haiwan (epizoik) sebagai tempat untuk hidup.
Walaupun sebahagian besar rumpai laut hidup secara bentik, namun terdapat juga tumbuhan ini yang menghabiskan sebahagian atau keseluruhan hidupnya terapung (pelagik). Beberapa spesies Sargassum tergolong dalam kumpulan ini. Di laut Sargasso, wujud kelompok Sargassum natan dan Sargassum fluitans pelagik yang banyak sebagai contoh:
Halimeda (alga hijau)
Hypnea (alga merah)
Padina (alga perang)
Sargassum (alga perang)
Bryopsis (alga hijau)
Caulerpa (alga hijau)
Pelbagai lagi bentuk dan warna rumpai laut yang boleh ditemui di perairan Malaysia, selami dan perhatikan penggunaannya yang berkhasiat dalam kehidupan manusia mahupun pertanian.
Comments
Post a Comment
Sila tingalkan komen anda.